Wednesday, November 23, 2011

Cerpen: Ku Tunggu Sinar Itu

Sang mentari gah memancar cahayanya. Sang unggas berkicau-kicau di pagi yang hening.Lantas, berlari anak aku ke jendela. Ku lihat pepohon hijau yang rendang menari-nari ditiup angin pagi. Adakah hari ini bakal mengubah hidupku?


Lantas ku mengorak langkah menuruni tangga kayu yang sudah pun digigit anai-anai. Pondok usang itu ku tinggalkan lalu melangkah keluar mencari rezeki. Penyakit ibu harus diubati. Kakiku kental memijak batu-batu tajam di jalanan tanpa beralas. Pucuk ulam raja inilah tempat aku bergantung harap. Walaupun hasilnya tak seberapa, namun ianya cukup buat ku dan ibuku meneruskan hidup. 

"Hei budak hingusan! Pagi-pagi lagi dah terjerit-jerit, pucuk ulam raja, pucuk ulam raja. Ko ingat ulam raja ko tu sedap sangat ke? Memekak je pagi-pagi ni", kata-kata Mak Cik Limah terngiang-ngiang di gegendang telinga ku. Pedih rasanya.

Salahkah aku mencari rezeki yang halal ini? Hinakah pekerjaanku? Butir-butir manik mula jatuh membasahi pipiku. Namun, ku tabahkan hati ini. Segala kritikan dan ejekan harusku terima dengan pasrah. Sememangnya ini merupakan ujian buat diriku.

Budak-budak sekolah lalu-lalang di hadapanku. Ku lihat terpancar kegembiraan pada wajah mereka. Gelak tawa mereka sudah cukup menggambarkan kehidupan mereka yang penuh dengan keriangan. Memori silamku berputar kembali. Dahulu, aku merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Keputusan peperiksaanku cukup membanggakan sekolah. Namun, kesempitan hidup membuatkan aku membatalkan segala impianku. Cita-cita yang telah lama ku bina sejak dulu terpaksa ku padamkan dan biarkan ia terkubur. Penyakit ibu harus diubati. Wang yang telah ku kumpul itulah yang akan ku gunakan untuk mengubati penyakit ibu. Kata orang, ibuku telah terkena buatan orang. Sukar untuk ku percaya. Jika benarlah kata-kata mereka, siapakah yang sanggup berbuat sebegitu terhadap ibuku. Sudahlah kehidupan kami miskin, hidup pun seperti kais pagi makan pagi,kais petang makan petang. Aku redha dengan takdir ini.

Setelah jualanku laris dijual, aku terus pergi ke rumah-rumah orang kampung untuk mengambil upah mencuci  pakaian. Sekurang-kurangnya, ia dapat menambahkan pendapatanku yang tidak seberapa. Setelah matahari terpacak di atas kepala, barulah aku melangkah pulang.

Peluh memercik di mukaku. Langkahku dipercepatkan. Ibuku pasti lapar di rumah. Dari kejauhan, ku terdengar ibu terjerit-jerit minta tidak diganggu. Lantas aku bergegas berlari menuju ke rumah dengan seribu pertanyaan. Sebaik sahaja kakiku memijak rumah, bakulku yang berisi dengan sayur-sayuran terlepas dari tanganku. Aku sungguh terkejut melihat keadaan ibu yang ketakutan. Mata ibu meliar-liar melihat sekeliling. 

"Pergi kau! Pergi kau!Aaaaaaaaaahhh, jangan ganggu aku!"jerit ibu.

Aku terus memeluk ibu sambil membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Lama-kelamaan rontaan ibu melemah dan terlena di pehaku. Aku membelai-belai rambut ibu. Air mataku mengalir lagi. Kasihan ibu. Sungguh banyak dugaan dan ujian Allah buatnya. Aku membaringkan ibu di atas katil . Ku renung raut wajah ibu.  Segala dugaan dapat dihadapinya dengan tabah. Hatiku terus memarahi ayahku yang tidak bertanggungjawab. Sanggup dia biarkan ibuku hidup sengsara. Tergamak dia menikmati kemewahan harta pusaka ayah mertuanya dengan perempuan lain. Mengapakah ayah aku sanggup melakukan ini semua kepada ibu?Aku menahan sebak di dada. Hatiku seperti dicakar-cakar dengan pisau. Air mata ku seka dengan baju kurungku yang telah lusuh. Sampai bila aku harus bersedih. Lantas aku terus bangun untuk menyiapkan makan tengahari.

Kayu arang ku kumpulkan. Peluh sudah mengalir di wajahku namun, api masih jua tidak menyala. Tiba-tiba angin bertiup kencang. Tingkap rumahku terbuka tertutup ditiup angin. Langit yang tadinya cerah terus bertukar menjadi gelap. Hujan lebat mulai turun. kilat sabung-menyabung, guruh berdentum-dentum. Lantas aku terus menutup tingkap rumahku. Tiba-tiba, aku terdengar tapak kaki orang berlari keluar. "Ibu", hatiku tersentak. Aku terus berlari ke depan. Ibu sudah tiada di katil. Aku sungguh terkejut. Tanpa menghiraukan keadaan hujan yang lebat di luar, aku terus berlari keluar mencari kelibat ibuku. 

"Ibu, di manakah ibu? Jangan tinggalkan Lina bu...". 

Air mataku telah lama bergenang. Mataku meliar melihat sekeliling, namun ibuku masih jua belum ditemui. Rumah demi rumah telah ku tanya, tapi khabar berita tentang ibu masih jua menemui kegagalan.
 "Ke manakah ibu pergi?Keadaan hujan semakin lebat ini menambahkan lagi kerisauanku.

Kakiku sudah melangkah longlai. Tiba-tiba aku ternampak seorang wanita berdiri di persimpangan jalan. Aku mengesat-ngesat mataku. "Ibu".  Aku menjerit lalu terus berlari ke arah ibu. Tiba-tiba datang sebuah pacuan empat roda meluncur laju ke arah ibu. Aku kaget. 

"Ibu, lari bu...lari!!!!!!", aku menjerit. "Pommm!!, Ibuku tercampak ke tepi jalan. Kereta tadi terus berlalu pergi. Aku tersentak seketika lalu terus berlari mendapatkan ibuku. Orang ramai sudah mengerumuni kami.  Darah mengalir dari kepala ibu lalu membasahi bumi. Aku memeluk ibu erat-erat."Ibu,jangan tinggalkan Lina bu", aku menahan sebak. Tangan ibu ku genggam erat-erat. "Lina anakku, belajarlah rajin-rajin nak. Buangkan segala dendam kamu terhadap ayahmu nak. Maafkanlah ibu dan dia kerana tidak mampu menjadi ibu bapa yang terbaik buatmu,uhk uhk"."Ibu, jangan cakap macam tu bu. Ibulah yang terbaik buat Lina", air mata ibu ku kesat. "Ibu akan pergi dulu nak. Hidup ibu dah tak lama", kata ibu. Nafas ibu sudah tersekat-sekat. Ibu tercungap-cungap. Aku kaget. "Mana ambulans,mana ambulans". aku menjerit. Ambulans masih belum tiba lagi. Aku hanya mampu mengajarkan ibu syahadah sambil air mataku mengalir laju. Ibu mengucap perlahan-lahan. Tiba-tiba genggaman tangan ibu lemah lalu jatuh ke tanah. Hatiku tersentak lagi. "Ibu....". Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Kini, ibu telah memejamkan matanya buat selama-lamanya. Aku terpaksa meredhakan pemergiannya. Mataku berpinar-pinar. Dari kejauhan terdengar bunyi ambulans baru tiba. Pandanganku kelam. Aku rebah.

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX  

"Kalau dia dah sedar nanti, bagi dia makan ubat ni ya".
"Baik doktor". 

Perbualan itu ku dengar dari arah kanan. Perlahan-lahan ku cuba membuka mataku. Pandanganku masih kabur. Lama-kelamaan baru menjadi jelas.

"Alhamdulillah, kamu dah sedar pun. Mari sini saya periksa", kata doktor . Aku membiarkan diriku diperiksa. Aku masih cuba mengingatkan kembali apa yang telah berlaku.

"Nasib kamu baik, Lina. Jarang pesakit yang masih boleh diselamatkan setelah koma seminggu",kata doktor. Aku terus terbangun. "Apa?",aku terkejut. "Bertenang Lina, bertenang". Doktor membaringkan aku kembali. "Sekarang ni, kamu makan ubat ni . Kalau dah sembuh nanti, barulah boleh pulang",kata-kata doktor ku turuti sahaja. Setelah doktor dan jururawat pergi, aku bangun semula. Ku gagahkan kaki melangkah ke jendela.

"Di manakah aku?". Ku melihat bangunan-bangunan tinggi gah berdiri mencakar langit. Aku kini berada di bandar yang penuh dengan teknologi canggih."Bagaimanakah keadaan ibu?Siapakah yang membiayai perbelanjaan ini?", hati kecilku bertanya. Tiba-tiba pintu diketuk. Seorang lelaki dalam lingkungan 40-an masuk ke dalam bersama seorang perempuan di sebelahnya dan seorang anak kecil. Aku rasa aku kenal siapa mereka.

" Normah, kamu jangan nak tunjuk lagak dengan aku. Kamu tu isteri aku. Segala harta kekayaan kamu milik aku sekarang. Faham?",tengking ayah.
"Abang, jangan tinggalkan Normah bang", ibu merayu.

Ayah terus menepis tangan ibu lalu pergi meninggalkan ibu. Ketika itu, aku baru berumur 5 tahun. Sejak hari itu, ayah sudah tidak muncul-muncul lagi. Peristiwa itu masih segar dalam ingatanku walaupun telah berlaku lebih kurang 15 tahun yang lalu. Kini, dialah yang berdiri di depanku sekarang. Dialah yang membuatkan ibuku sengsara. Dialah yang menyebabkan kami jadi begini. Aku menahan marah.

"Lina, maafkan ayah, Lina. Ayah kesal dengan apa yang telah terjadi. Kini, ayah benar-benar menyesal di atas segala perbuatan ayah masa lalu. Maafkan ayah Lina", ayah merayu sambil cuba memelukku.

Aku menepis tangan ayah."Jangan sesekali kau cuba menyentuh ku. Kau bukan ayahku. Seorang ayah tidak akan membiarkan anak dan isterinya menderita. Seorang ayah tidak akan membiarkan keluarganya musnah. Ini yang dinamakan ayah?Inikah insan yang bergelar ayah?", aku sudah tidak mampu menahan marah.

"Lina, maafkan ayah Lina. Waktu tu, ayah tak berfikir panjang. Ayah tersilap Lina. Maafkan ayah", ayah meneruskan kata-katanya. Kelihatan kesal pada raut wajahnya.

"Sungguh senang kau berbicara. Maaf. Maaf sudah tidak dapat mengubah apa-apa. Ayah tahu? Ayah tahu tak  bagaimana perasaan Lina dan Ibu? Lina selalu dahagakan kasih sayang seorang ayah. Setiap kali Lina diejek oleh kawan-kawan. Sakit telinga Lina ayah. Sakit...bila mereka memburuk-burukkan ayah. Apatah lagi ibu. Saban hari dia menangis. Tapi, Lina yakin yang ayah akan pulang ke pangkuan ibu kembali. Setiap kali Lina berdoa. Namun, harapan Lina hanya tinggal mimpi ayah. Ternyata ayah memang benar-benar tak sayangkan kami. Kini, ibu pun sudah tiada.", aku melepaskan segala luahan hatiku yang telah lama terbuku di hati. Keadaan sepi seketika. Hanya esakan tangisku mengisi ruangan bilik. Penghawa dingin sudah tidak terasa lagi. Kemarahan,kekecewaan dan kebencian sudah menyelubungi aku.

"Ayah tahu, Lina. Ayah tahu semua itu kesalahan besar yang telah ayah lakukan. Izinkan ayah memperbetulkan kesilapan itu, Lina", kata ayah perlahan.

"Ayah, biarkan Lina bersendirian",pintaku. Hatiku seperti dirobek-robek. Perasaan rindu ku pada insan yang bergelar ayah berubah menjadi benci. Aku sempat melihat wajah ayah yang sayu melangkah pergi bersama keluarganya. 

 "Lina anakku, belajarlah rajin-rajin nak. Buangkan segala dendam kamu terhadap ayahmu nak. Maafkanlah ibu dan dia kerana tidak mampu menjadi ibu bapa yang terbaik buatmu". Kata-kata ibu terngiang-ngiang kembali di cuping telingaku. "Oh, ibu". Air mataku mengalir deras. Mulianya hati ibu, tapi mampukah aku memaafkan semua kesalahan ayah setelah apa yang terjadi. Aku terus menangis.

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

Malam itu terasa sungguh sepi. Ku pergi ke jendela melihat bulan yang dikelilingi bintang. Subhanallah.     Cantiknya ciptaanMu. Fikiranku terus melayang. Wajah ibu muncul lagi. Setiap memoriku bersama ibu seperti sedang ditayangkan di atas bintang-bintang yang berkelipan. Aku ternampak senyuman manis ibu menyambut kepulanganku dari sekolah. Bagaimana pula kerisauan ibuku ketika merawat lukaku yang terjatuh dari pokok. Kami bersembunyi dalam semak bersama-sama kerana lari dikejar anjing liar. Tidak lenanya ibu tidur  kerana menampar nyamuk-nyamuk yang hinggap pada tubuh kecilku. Aku tersenyum. Tidak sedar air mataku mengalir lagi. Tiba-tiba wajah ayah muncul. Terasa sakitnya aku ketika ibu ditampar ayah. Bagaimana ibu tercampak dan terhantuk meja. Bagaimana ibu dimaki hamun. Kasihan ibu. Wajah ibu sedih. Penderitaan. Kesakitan.   Hidup ibu berakhir dengan tragedi. Mengapa semua ini terjadi Ya Allah? Mengapa? Apa salah kami Ya Allah. Aku terduduk. Badanku terasa sangat lemah. Aku seperti hilang arah. Aku sudah tiada sesiapa lagi Ya Allah. Tiba-tiba kata-kata terakhir ibu terngiang-ngiang lagi. "Oh, Ibu.  Andai kau ada di sini, pasti kau akan cuba menenangkanku. Astaghfirullah.Ampunkan aku Ya Allah. Ampunkan aku. Aku terasa sangat lemah Ya Allah. 

Ketenangan harus ku cari. Perlahan-lahan kakiku melangkah mencari Nur Ilahi. Setelah selesai solat sunat, hatiku terasa tenang. Alhamdulillah.

"Ya Allah, Ya Tuhanku.Ampunilah dosa hambaMu yang lemah ini. Kau rahmatilah roh ibuku, Ya Allah. Tempatkanlah ibuku dalam kalangan hamba-hambaMu yang soleh. Ya Allah Ya Rabbul A'lamin, Engkaulah yang mengetahui segala yang terbaik buat hambaMu. Kau telah ambil ibuku dariku. Aku rasa keseorangan namun, kau hadirkan kembali ayahku kepadaku. Aku tahu Ya Allah. Tidak layak untuk aku menghukumnya.    Jika ayahku ini muncul untuk menyinari hidupku kembali, aku terima Ya Allah. Sesungguhnya, berikanlah petunjuk kepadaku Ya Allah. Amin....', aku terus menyapu tangan ke muka. Hatiku kini lebih tenang.Alhamdulillah. Aku tahu, Allah tidak akan menguji hambaNya di luar kemampuan masing-masing. Jadi, aku harus kuat.

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

Keesokan harinya ayah datang untuk membawaku pulang. Aku terus memeluk ayah dan mencium tangannya.

"Ayah, ampunkan Lina,ayah. Kata-kata Lina semalam sungguh kasar dan tidak patut diucapkan sebegitu kepada ayah", aku memeluk ayah sambil air mataku mengalir deras. Pipiku basah.
"Lina, ayah yang bersalah. Lina tak salah apa-apa.Marilah kita mulakan hidup baru nak", kata ayahku sambil mengelap air mataku.
"Ayah, izinkan Lina menziarahi kubur ibu dahulu', pintaku.
"Sememangnya ayah mahu bawa kamu ke sana, Lina", kata ayah sambil memandu kereta Honda Civicnya. Kereta pacuan empat roda yang dipandu ayah memasuki perkampunganku. Ku sempat melihat pondok usang yang telah menyimpan seribu rahsia yang tidak berpenghuni lagi. Di sebalik pondok itu, terselit sejuta kenanganku bersama arwah ibu. Tidak lama kemudian, kami tiba di tanah perkuburan.

Aku terus mencari kubur ibu. Masih merah lagi tanahnya. Kami bersama-sama sedekahkan Yassin buat arwah ibu. Setelah selesai, aku terus menangis tidak dapat menahan sebak.

"Ibu, ini ayah bersamaku ibu. Aku sudah boleh memaafkannya. Ayah tidak seperti dulu lagi. Kini, aku akan mempunyai seorang ayah yang akan mencurahkan kasih sayangnya yang telah lama ku nantikan. Ibu, semoga kau bahagia di sana", hati kecilku berkata-kata.

Ayah menenangkanku sambil mengusap lembut bahuku. Perlahan-lahan kami melangkah pergi. Kereta pacuan empat roda itu berlalu pergi meninggalkan kampung yang menyimpan seribu memori buatku. Aku berjanji ibu, bahawa aku akan belajar bersungguh-sungguh. Pentas dunia ini baru bermula. Akanku lakarkan lukisan dan cerita indah di atasnya. Sinar yang ku nantikan sekian lama sudah tiba.

-----------------------------------------------SEKIAN---------------------------------------------------
Penulis : kembarainsan@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan dialu-alukan ^_^